KAJANG — Seorang bayi lelaki berusia kira-kira setahun maut dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di Plaza Tol Bukit Kajang semalam, sekali gus meruntun hati keluarga yang sudah menanti hampir sedekad untuk menimang cahaya mata.
Mangsa, AMIR HUSAYN, tercampak keluar dari kereta dinaiki bersama ibu, kembar serta datuk dan neneknya. Dia disahkan meninggal dunia akibat pendarahan dalaman. Kembarnya, AMIR HASAN, bagaimanapun terselamat dan sudah dibenarkan keluar hospital malam tadi.
Bapanya, AMIRUL RIDZUAN ABU BAKAR, 39, yang bertugas di Kedah ketika kejadian, meluahkan rasa ralat kerana tidak berada di sisi keluarga saat tragedi itu berlaku. “Selepas 10 tahun mencuba, akhirnya kami dikurniakan anak kembar lelaki. Kehilangan ini amat perit,” katanya
Menurutnya, pada hari kejadian Amir Husayn menunjukkan perubahan sikap yang tidak disangka, apabila makan bersungguh-sungguh seolah-olah memberi tanda sebelum ‘pergi’.
Jenazah Amir Husayn selamat dikebumikan di TANAH PERKUBURAN ISLAM SUNGAI KANTAN pagi tadi. Amirul berharap orang ramai terus mendoakan mereka sekeluarga tabah menghadapi dugaan.
Sementara itu, polis mengesahkan siasatan lanjut masih dijalankan terhadap pemandu lori yang terlibat dalam kemalangan tersebut.
Tags
MALAYSIA HARI INI
