POLIS SIASAT VIDEO TULAR RUSUHAN DI BUTTERWORTH, SUSPEK DIBURU
BUTTERWORTH #Butterworth – Polis menjalankan siasatan berhubung video tular di media sosial yang menunjukkan sekumpulan individu terbabit dalam rusuhan, dipercayai berlaku di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Anuar Abdul Rahman berkata, kejadian bermula apabila pengadu cuba membantu seorang penunggang motosikal yang terlibat kemalangan dan terbaring di jalan. Namun, suspek tiba-tiba bangun lalu menumbuk pengadu sebelum menghasut orang awam untuk memulakan pergaduhan.
“Siasatan awal mendapati suspek mendakwa terdengar kata-kata kesat daripada orang awam berhampiran lokasi sebelum bertindak agresif,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Anuar berkata, polis kini sedang mengesan dan memburu suspek bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh. Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi atau mensensasikan kejadian itu kerana boleh mengganggu ketenteraman awam.
Orang awam yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Sarjan Muhammad Adib Ikmal Sukri di talian 04-576 2222 (samb. 2275) atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran.