![]() |
JURUTERA MAUT DALAM KEMALANGAN MOTOSIKAL DI LEBUH RAYA CHERAS-KAJANG
KAJANG – Seorang jurutera maut selepas motosikal yang ditunggangnya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah treler di Kilometer 19 Lebuh Raya Cheras-Kajang menghala ke arah Kajang, semalam.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 5.30 petang apabila motosikal mangsa bertembung dengan treler terbabit, menyebabkan penunggang hilang kawalan dan terjatuh di atas jalan.
“Mangsa berusia 40 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah oleh pasukan perubatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Hasil semakan polis mendapati pemandu treler berusia 28 tahun mempunyai tujuh rekod saman lalu lintas. Suspek telah ditahan untuk membantu siasatan lanjut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dengan cuai sehingga menyebabkan kematian.
Polis turut meminta saksi kejadian tampil menyalurkan maklumat dengan menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Narolhisyam Endi di talian 019-5897115 bagi membantu siasatan.
