KLUANG – Dua lelaki ditahan selepas disyaki memiliki sepucuk pistol palsu ketika sedang menaiki sebuah kereta dalam keadaan mencurigakan di Pekan Kahang, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, tangkapan dilakukan sekitar jam 2.30 petang ketika pasukan polis menjalankan rondaan cegah jenayah di kawasan berkenaan.
“Hasil pemeriksaan terhadap kereta yang dinaiki kedua-dua lelaki itu menemui sepucuk pistol palsu. Ujian saringan air kencing pula menunjukkan kedua-duanya positif dadah jenis Methamphetamine,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, semakan mendapati suspek pertama mempunyai satu rekod jenayah dan tiga kes berkaitan dadah, manakala suspek kedua pula mempunyai satu rekod kes dadah.
Polis mengesahkan tiada laporan kehilangan dibuat ke atas kenderaan tersebut.
Kes kini disiasat mengikut Seksyen 36 Akta Senjata Api 1960 dan jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara sehingga setahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Permohonan untuk menahan reman suspek dibuat hari ini bagi membantu siasatan lanjut.
