KLUANG - Seorang lelaki maut selepas motosikal yang ditungganginya melanggar belakang lori kargo yang tiba-tiba keluar simpang di Kilometer 76 Jalan Johor Bahru - Ayer Hitam, pada Jumaat sekitar jam 1.45 petang.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh, berkata kejadian melibatkan Mohamad Faiszy Mohd Misraside, 21, yang menunggang motosikal Yamaha Y15ZR dan pemandu lori, Zufri Zakaria, 53, yang memandu lori lima tan jenis Isuzu.
"Siasatan awal mendapati Mohamad Faiszy dalam perjalanan dari Simpang Renggam menuju ke Machap, manakala lori yang dipandu Zufri Zakaria datang dari arah kilang di sebelah kiri jalan dan juga menuju ke Machap," kata Bahrin.
Sebaik tiba di lokasi kejadian, lori tersebut tiba-tiba keluar dan membelok ke kiri jalan, menyebabkan mangsa yang menunggang motosikal tidak sempat mengelak dan terus melanggar bahagian belakang lori itu.
"Akibat perlanggaran itu, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," jelasnya.
Mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) Kluang untuk proses bedah siasat.
Menurut Bahrin, pemandu lori tersebut tidak mengalami sebarang kecederaan dan telah ditahan untuk ujian saringan air kencing, dengan keputusan negatif daripada pengaruh dadah.
"Pemandu lori akan dihadapkan ke mahkamah untuk permohonan tahanan reman bagi tujuan siasatan lanjut. Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.

