Rampasan 9.6 Tan Gula: Maritim Malaysia Tahan Suspek di Tawau


 Maritim Malaysia berjaya menggagalkan cubaan seorang lelaki tempatan yang cuba membawa keluar 9.6 tan gula pasir menggunakan sebuah bot kargo ke sempadan negara. Dalam operasi yang dijalankan, pihak Maritim Malaysia menahan bot tersebut pada kedudukan 2.4 batu nautika selatan Batu 3, Tawau.

Bot kargo yang dipandu oleh lelaki tersebut dikesan bergerak dari arah Sungai Tawau menuju ke sempadan perairan negara sekitar jam 8.30 pagi. Pemeriksaan terhadap dokumentasi mendapati lelaki tersebut gagal mengemukakan permit yang sah untuk membawa barang kawalan, serta tidak melakukan pengikraran barangan. Selain itu, semakan lanjut mendapati nama suspek tidak tersenarai dalam lesen bot berkenaan.

Hasil penggeledahan menyeluruh ke atas bot itu, pihak berkuasa menemui 9,600 kilogram gula pasir yang dibungkus dalam paket satu kilogram. Nilai keseluruhan rampasan, termasuk bot, dianggarkan sekitar RM60,000. Kes ini kini disiasat di bawah Akta Kastam 1967, Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Enakmen Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah (JPDS).

Maritim Malaysia juga menyeru orang awam untuk melaporkan sebarang maklumat berhubung salah laku jenayah kepada Pusat Operasi Zon Maritim Tawau atau talian kecemasan 999.

Catat Ulasan

Terbaru Lebih lama