Kuala Lumpur: Lagu Hening Rindu nyanyian Marsha Milan, ciptaan Ikhwan Fatanna & Wan Saleh, dengan lirik oleh Ikhwan Fatanna, diumumkan sebagai juara di Anugerah Juara Lagu 39 (AJL39) yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil. Kemenangan ini membolehkan mereka meraih hadiah utama sebanyak RM100,000 beserta trofi.
Tempat kedua dimenangi oleh lagu Bukan Lagi Kita dendangan Nadeera Zaini, ciptaan Hael Husaini dan Iqie Hugh, yang membawa pulang RM50,000 dan trofi. Sementara itu, lagu Saksama nyanyian Akim & The Majistret menduduki tempat ketiga dengan RM30,000 dan trofi.
Anugerah Vokal Terbaik dimenangi oleh Ernie Zakri menerusi lagu Aura, manakala Aina Abdul pula meraih Kategori Persembahan Terbaik dengan lagu Puas Sudah, memenangi RM12,000 masing-masing.
AJL39 turut diserikan dengan persembahan bertenaga oleh Wany Kayrie, Ara Johari, Shiha Zikir & Noki, serta kemunculan khas Datuk M. Nasir yang membawakan lagu runut bunyi Ejen Ali The Movie 2, Hanya Kamu buat pertama kali di pentas.
