Bomoh muda mengaku cabul budak perempuan

Chukai: Seorang bomoh muda mengaku bersalah di Mahkamah Seksyen Kemaman di sini, tadi, atas tiga pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun, akhir Januari lalu.

Tertuduh, Muhammad Adiq Alqbab Zanuddin, 20, kelihatan menangis di kandang tertuduh ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Wan Suhaila Mohd.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa.

Kesalahan itu dilakukan tertuduh mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKKSTKK) 2017 yang boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan hukuman sebat.

Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal bagi maksud seksual terhadap mangsa.

Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(d) AKKSTKK yang juga boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan boleh dihukum dengan sebat.

Ketiga-tiga kesalahan itu dilakukan tertuduh pada jam 1 pagi, 31 Januari lalu, di sebuah rumah, di Bandar Seri Bandi, di sini.

Kes berkenaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Noor Asyikin Hashim.

Peguam yang mewakili tertuduh, Ahmad Ahnaf Zaimi memohon hukuman dijatuhkan ke atas tertuduh selepas laporan sosial diperoleh daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Wan Suhaila kemudiannya membenarkan tertuduh dikenakan ikat jamin sebanyak RM4,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin.

Wan Suhaila juga menetapkan tarikh 13 Mac sebagai tarikh menjatuhkan hukuman serta laporan sosial dan fakta.



Artikel ➡️ Harian Metro


Catat Ulasan

Terbaru Lebih lama