KUALA LUMPUR - Seorang lelaki yang disyaki terlibat dalam kes tembak-menembak di sebuah pusat beli-belah di Setia Alam, Shah Alam pada 8 Februari lalu, ditembak mati oleh pihak polis dalam satu operasi di Pulau Ketam, Klang Selatan, awal pagi tadi.
Suspek, lelaki tempatan berusia dalam lingkungan 30-an, ditembak mati dalam satu serbuan yang dilakukan oleh anggota dan pegawai dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dan JSK Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor sekitar jam 3 pagi. Setakat ini, belum disahkan sama ada suspek bersembunyi di pulau tersebut untuk mengelak daripada diburu pihak berkuasa sejak kejadian tembak pada 8 Februari lalu, atau cuba melarikan diri ke luar negara.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan bahawa suspek yang juga seorang penjenayah dikehendaki itu maut dalam kejadian tembak-menembak bersama polis di sebuah bilik hotel di Pulau Ketam. Semasa serbuan, polis berjaya menembak mati suspek dan menemui dua senjata api yang mengandungi peluru.
Siasatan lanjut mendapati suspek memiliki sembilan rekod jenayah termasuk satu kes dadah dan tujuh kes samun. Suspek juga dipercayai terlibat dalam insiden tembakan di pusat beli-belah Setia City Mall baru-baru ini.
Dalam kejadian pada 8 Februari lalu, suspek dilapor melepaskan empat das tembakan terhadap seorang lelaki pekerja tukang cuci di pusat beli-belah Setia Alam, menyebabkan mangsa cedera di punggung dan kaki. Setelah itu, suspek melarikan diri dengan memaksa seorang lelaki yang menaiki Perodua Ativa untuk membawanya ke Pandamaran, Klang, sebelum melepaskan mangsa dan terus melarikan diri.
Mayat suspek kini akan dibawa ke jeti Pelabuhan Klang selepas pemeriksaan dan siasatan forensik selesai dijalankan oleh pihak polis.
