𝐏𝐚𝐣𝐚𝐤𝐚𝐧 𝐇𝐞𝐥𝐢𝐤𝐨𝐩𝐭𝐞𝐫 𝐑𝐌𝟏𝟔.𝟔 𝐁𝐢𝐥𝐢𝐨𝐧, 𝐓𝐞𝐫𝐦𝐚𝐡𝐚𝐥 𝐃𝐚𝐥𝐚𝐦 𝐒𝐞𝐣𝐚𝐫𝐚𝐡 𝐌𝐚𝐥𝐚𝐲𝐬𝐢𝐚 – 𝐀𝐡𝐥𝐢 𝐏𝐚𝐫𝐥𝐢𝐦𝐞𝐧 𝐁𝐄𝐑𝐒𝐀𝐓𝐔 𝐘𝐁 𝐃𝐚𝐭𝐨’ 𝐒𝐫𝐢 𝐈𝐤𝐦𝐚𝐥 𝐇𝐢𝐬𝐡𝐚𝐦


24 Februari 2025 – Ahli Parlimen Tanah Merah, YB Dato’ Sri Ikmal Hisham, yang juga merupakan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU, telah mengkritik keputusan kerajaan mengenai pelaksanaan pajakan 28 buah helikopter melalui program Government Operate, Company Own and Maintain (GOCOM). Program tersebut melibatkan pajakan helikopter pelbagai varian dari Syarikat Leonardo dengan nilai keseluruhan sebanyak RM16.6 bilion selama 15 tahun, menjadikannya kontrak pajakan termahal dalam sejarah Malaysia.

Menurut kenyataan media yang dikeluarkan oleh Ikmal Hisham, Menteri Pertahanan didakwa memberikan penjelasan yang mengelirukan berhubung isu ini. Beliau mempertahankan keputusan kerajaan dengan menyatakan bahawa kontrak pembelian helikopter AW149 oleh Kerajaan Poland tidak wajar dibandingkan dengan kontrak GOCOM Malaysia, walaupun harga kontrak Poland lebih murah kerana ia tidak termasuk kos maintenance, repair, and overhaul (MRO). Ikmal Hisham menegaskan bahawa kenyataan tersebut tidak benar sama sekali.

Ikmal Hisham merujuk kepada kos RM8.86 bilion yang dibelanjakan oleh Kerajaan Poland untuk membeli 32 buah helikopter AW149 dari Syarikat Leonardo, yang turut merangkumi kos penyelenggaraan, penyediaan alat ganti, pembinaan kilang pemasangan di Poland, penyediaan pusat simulator latihan, pemasangan senjata, pemindahan teknologi, latihan juruterbang, dan banyak lagi. Ini berbeza dengan kontrak GOCOM Malaysia yang merupakan perjanjian antara kerajaan Malaysia dan Syarikat Weststar Aviation Services Sdn. Bhd., yang disifatkan sebagai lebih terhad dan kurang transparan.

Beliau juga mempertanyakan kemampuan helikopter AW149 yang akan dibekalkan kepada Tentera Malaysia, terutama dalam melaksanakan tugas “basic underslung” meriam 105mm pack howitzer. Ikmal Hisham mempersoalkan dakwaan bahawa helikopter AW149 boleh mengangkut meriam tersebut, kerana tidak pernah ada bukti nyata dalam sejarah bahawa helikopter jenis itu mampu melakukan tugas tersebut, dan menjelaskan bahawa maklumat yang diberikan oleh Menteri Pertahanan hanya berdasarkan katalog syarikat.

Sebagai Ketua Portfolio Pertahanan Ahli Parlimen Perikatan Nasional, Ikmal Hisham menegaskan bahawa Angkatan Tentera Malaysia (ATM) perlu dibekalkan dengan helikopter yang benar-benar memenuhi keperluan mereka. Ini adalah demi menjaga keselamatan dan kedaulatan negara, dan memastikan anggota tentera sentiasa diberikan peralatan yang terbaik tanpa risiko.


 

Catat Ulasan

Terbaru Lebih lama