Pada aksi final kedua ini, Selangor FC mempamerkan penguasaan penuh sejak wisel pertama dibunyikan. Ali Olwan meletakkan pasukan tuan rumah di depan seawal minit ke-4 selepas menyudahkan hantaran cantik dari Ronnie Fernandez. Lima minit kemudian, Yohandry Orozco menambah jaringan kedua selepas berjaya melepaskan diri daripada kawalan pertahanan PDRM.
PDRM FC pula tidak dapat berbuat banyak apabila terpaksa bermain dengan 10 pemain bermula pada minit ke-21 selepas Muhammad Eizrul Ashraf Nor Effendy dilayangkan kad merah akibat mengasari Orozco. Keadaan ini memburukkan lagi peluang pasukan The Cops untuk kembali bangkit.
Selangor FC terus menambah tekanan dengan gol ketiga hasil tandukan Fernandez pada minit ke-30. Dengan selesa mendahului, Selangor tetap tidak menurunkan intensiti permainan dan terus menguasai perlawanan. Gol keempat hadir pada minit ke-80 apabila Orozco kembali meledak untuk menutup kemenangan 4-0 dalam perlawanan kedua.
Keputusan ini membawa Selangor FC menjulang Piala Cabaran 2025 dengan agregat 7-0, menamatkan penantian mereka sejak kali terakhir menjuarai trofi domestik, Piala Malaysia pada 2015. Kejayaan ini turut mengukuhkan status Selangor FC sebagai salah satu pasukan terbaik dalam bola sepak Malaysia.
Piala Cabaran diperkenalkan oleh Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) pada 2018, dengan Terengganu FC II (TFC II) muncul juara edisi pertama, diikuti Johor Darul Ta’zim II pada 2019 dan PDRM FC pada 2023.
