KUALA LUMPUR – Kerajaan MADANI akan menganjurkan satu himpunan khas bagi meraikan kepulangan 23 aktivis kemanusiaan negara yang menyertai misi Global Sumud Flotilla (GSF), kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut beliau, majlis itu akan diadakan sebagai tanda penghargaan kepada keberanian dan pengorbanan para sukarelawan Malaysia yang sanggup mempertaruhkan nyawa demi memperjuangkan nasib rakyat Palestin di Gaza.
“Himpunan khas ini bukan sahaja untuk meraikan mereka, tetapi juga sebagai simbol solidariti rakyat Malaysia yang sentiasa bersama perjuangan Palestin. Insya-Allah, kita akan menyesuaikan masa agar majlis dapat diadakan pada waktu malam supaya mereka boleh berkongsi pengalaman,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Sebelum ini, kesemua 23 peserta misi GSF, termasuk beberapa selebriti tempatan seperti Heliza Helmi, Farah Lee, Zizi Kirana dan PU Rahmat, ditahan tentera rejim Zionis selepas kapal mereka dipintas di perairan Laut Mediterranean.
Mereka dibawa ke pelabuhan Ashdod, Israel, sebelum dibebaskan dan berlepas dari Lapangan Terbang Ramon menuju ke Istanbul
Anwar yang juga Penaung Sumud Nusantara turut menzahirkan rasa bangga terhadap semangat kental mereka yang dianggap wira kemanusiaan sejati.
“Mereka adalah lambang keberanian rakyat Malaysia yang menjunjung nilai kemanusiaan tanpa mengenal sempadan,” katanya.
📍Untuk laporan lanjut, layari http://malaysiahariini.website
🟩 KERAJAAN MADANI RAI WIRA GSF, SEMARAKKAN SOLIDARITI BERSAMA PALESTIN
byMALAYSIA HARI INI
-
0