KLANG – Hasrat seorang bapa membawa keluarga tercinta bercuti ke Pulau Pinang tidak kesampaian apabila dia maut dalam kemalangan di Jalan Persiaran Tengku Ampuan, Seksyen 22, di sini, Isnin lalu.
Mangsa, Muhammad Hafiz Abdul Jamil, 39, yang juga kontraktor komunikasi serta penghantar barangan sambilan, meninggal dunia di tempat kejadian selepas kereta Proton Saga FLX yang dipandunya terbabas sebelum melanggar tiang elektrik. Dalam kejadian itu, isteri dan tiga anaknya yang berusia antara lapan bulan hingga tujuh tahun cedera parah.
Menurut adiknya, Muhammad Muzamil, arwah sebelum kejadian kelihatan luar biasa ceria dan sempat menyatakan hasrat mahu membawa keluarganya bercuti ke Pulau Pinang. “Itu rupanya tanda terakhir. Dia memang seorang yang penyayang dan gemar meluangkan masa bersama keluarga,” katanya.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, siasatan awal mendapati kereta mangsa terbabas lalu melanggar pembahagi jalan sebelum merempuh tiang elektrik. Isteri mangsa kini koma dan dirawat di Unit Rawatan Rapi Hospital Shah Alam, manakala tiga anaknya masih menerima rawatan akibat patah tulang dan kecederaan kepala.
Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Johan Setia, Klang, petang semalam. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Tags
MALAYSIA HARI INI