KUANTAN: Empat anggota dan pegawai polis termasuk seorang wanita yang bertugas di Pahang ditahan selepas dipercayai positif dadah dalam satu serbuan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman di sebuah pusat hiburan di daerah ini, pada Sabtu malam.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman mengesahkan perkara itu dan memaklumkan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca serta jenis bahan terlarang yang diambil oleh kesemua individu terbabit.
Difahamkan, empat individu berusia antara 30 hingga 40 tahun itu terdiri daripada dua pegawai dan dua anggota yang ketika serbuan berada dalam sebuah bilik karaoke di premis berkenaan.
Menurut sumber, ujian saringan awal mendapati keempat-empat mereka positif dadah, sebelum dibawa ke balai polis berhampiran bagi tujuan lanjut termasuk proses dokumentasi dan pengambilan keterangan.
Semua mereka kemudiannya dibebaskan dengan jaminan polis selepas siasatan awal dijalankan.
Kes ini kini disiasat di bawah peraturan tatatertib PDRM, manakala tindakan susulan akan diambil selepas keputusan penuh ujian makmal diperoleh.
Pihak polis menegaskan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pegawai atau anggota yang terlibat dalam penyalahgunaan dadah kerana ia mencemarkan imej pasukan dan menjejaskan integriti perkhidmatan awam.
JIPS Bukit Aman turut menegaskan operasi seumpama itu akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan tiada anggota keselamatan yang terlibat dalam aktiviti tidak bermoral termasuk penyalahgunaan bahan terlarang.
Tags
MALAYSIA HARI INI