SYABU DIRAMPAS, TIGA BURUH TEMPATAN DITAHAN POLIS TAWAU
TAWAU, – Polis berjaya menahan tiga buruh warga tempatan dalam siri operasi berasingan melibatkan rampasan dadah jenis syabu seberat 16.74 gram bernilai lebih RM1,000, semalam.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin bin Hussin berkata, tangkapan pertama dilakukan kira-kira jam 12.45 tengah malam di sebuah rumah di Ladang Kelapa Sawit Sin Onn Tiku, Jalan Apas, melibatkan seorang lelaki berusia 38 tahun bersama syabu seberat 5.83 gram. Tidak lama kemudian, seorang lagi lelaki berusia 25 tahun turut diberkas di lokasi sama pada jam 1.30 pagi bersama 5.73 gram syabu.
Dalam operasi berasingan sekitar jam 2.30 pagi, polis menahan seorang lelaki berusia 33 tahun di rumah pekerja Empangan Cinta Mata, Jalan Gudang Empat, dengan rampasan syabu seberat 5.18 gram.
“Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati kesemua suspek positif Amphetamine/Methamphetamine. Walaupun mereka tidak mempunyai rekod jenayah lampau, polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu terlibat dalam aktiviti dadah,” tegas Jasmin.
Menurutnya, semua suspek kini ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Seksyen 15(1)(a) akta sama.
ACP Jasmin turut menegaskan Polis Daerah Tawau komited memastikan kawasan perladangan tidak dijadikan lokasi pengedaran atau penagihan dadah. Beliau menyeru masyarakat setempat agar tampil menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan demi membanteras jenayah dadah di daerah ini.
Tags
MALAYSIA HARI INI
