RUMAH PANJANG 29 PINTU MUSNAH SEPENUHNYA DALAM KEBAKARAN AWAL PAGI DI SONG

RUMAH PANJANG 29 PINTU MUSNAH SEPENUHNYA DALAM KEBAKARAN AWAL PAGI DI SONG SONG – Suasana di Jalan Song-Temalat, Nanga Sungai Sipan gempar apabila sebuah rumah panjang berstruktur tidak kekal membabitkan 29 pintu musnah sepenuhnya dalam kebakaran yang berlaku awal pagi tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak memaklumkan, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.21 pagi. Seramai enam anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Song dikejarkan ke lokasi, kira-kira lapan kilometer dari balai berkenaan.
“Setibanya di lokasi jam 4.29 pagi, didapati rumah panjang terbakar seratus peratus. Operasi pemadaman segera dijalankan menggunakan jentera utama dan satu pam angkut dengan bantuan Pasukan Bomba Sukarela Song,” katanya. Menurut kenyataan itu, operasi kawalan api berdepan cabaran kerana struktur kayu yang mudah terbakar, namun api berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 6.33 pagi. Walaupun kebakaran itu menghanguskan keseluruhan rumah panjang, pihak berkuasa mengesahkan tiada kematian atau kecederaan dilaporkan. Semua penghuni sempat menyelamatkan diri.
Buat masa ini, punca kejadian serta jumlah anggaran kerugian masih dalam siasatan. Kes ini sekali lagi mengingatkan orang ramai mengenai kepentingan sistem keselamatan kebakaran di kawasan rumah panjang yang berisiko tinggi berlakunya kebakaran besar.

Catat Ulasan

Terbaru Lebih lama