![]() |
GRS KEKAL BERSAMA PH HADAPI PRN SABAH, PENTINGKAN STABILITI POLITIK NEGERI
#KOTA KINABALU — Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menegaskan akan meneruskan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17, menamatkan spekulasi mengenai strategi politik gabungan itu. Keputusan dicapai selepas mesyuarat majlis tertinggi yang dipengerusikan Pengerusi GRS merangkap Ketua Menteri Sabah, Hajiji Noor.
Setiausaha Agung GRS, Masidi Manjun, berkata kerjasama dengan PH membantu menstabilkan landskap politik #SABAH dan memberi ruang kepada kerajaan negeri menumpukan isu pembangunan, khususnya penyelesaian masalah infrastruktur asas.
“Kami akan duduk bersama pimpinan PH untuk menentukan pembahagian kerusi,” katanya, sambil menegaskan parti tempatan mesti diberi peranan utama dalam keputusan.
GRS dianggotai lapan parti tempatan termasuk Parti Gagasan Rakyat Sabah, Parti Bersatu Sabah, dan Parti Solidariti Tanah Airku. Mesyuarat tidak membincangkan kerjasama dengan pihak lain.
PRN kali ini dijangka mencabar kerana Barisan Nasional (BN) — sekutu PH di peringkat pusat — tidak sehaluan dengan GRS, susulan usaha Umno Sabah menyingkirkan Hajiji pada Januari 2023. Situasi ini meletakkan PH berdepan PRN dengan dua pakatan berasingan di #SABAH.
