PUTRAJAYA – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menzahirkan rasa kesal dan memohon maaf kepada rakyat susulan isu hidangan arak dalam satu acara rasmi yang tular baru-baru ini. Dalam kenyataan hari ini, MOTAC menegaskan pihaknya akan memperketat pemantauan serta memastikan setiap acara di bawah seliaan kementerian mematuhi sepenuhnya garis panduan dan etika kerajaan.
Kementerian turut mengambil maklum teguran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menzahirkan rasa tidak puas hati terhadap kejadian tersebut, sambil memberi amaran keras agar insiden sama tidak berulang. Perdana Menteri menegaskan, penjelasan bahawa minuman keras hanya dihidangkan selepas majlis rasmi tidak boleh diterima kerana dasar kerajaan jelas melarang penghidangan arak dalam acara kerajaan.
“MOTAC mengambil iktibar daripada perkara ini dan akan memastikan agar perkara seumpama ini tidak akan berulang,” menurut kenyataan rasmi itu.
Dalam masa sama, MOTAC turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri atas nasihat dan teguran membina, selain berikrar memperkukuh komunikasi serta pelaksanaan pemantauan yang lebih berkesan.
Langkah itu diyakini dapat memperkukuh imej kementerian serta memastikan industri pelancongan, seni dan budaya negara terus diperkasa dengan nilai profesionalisme serta integriti yang tinggi.
📍 Untuk info lanjut, lawati malaysiahariini.website
Tags
MALAYSIA HARI INI