𝐊𝐄𝐑𝐀𝐉𝐀𝐀𝐍 𝐌𝐀𝐃𝐀𝐍𝐈 𝐋𝐔𝐀𝐒𝐊𝐀𝐍 𝐁𝐔𝐃𝐈𝟗𝟓, 𝐏𝐄𝐌𝐀𝐍𝐃𝐔 𝐁𝐎𝐓 𝐃𝐀𝐍 𝐄-𝐇𝐀𝐈𝐋𝐈𝐍𝐆 𝐓𝐄𝐑𝐈𝐌𝐀 𝐌𝐀𝐍𝐅𝐀𝐀𝐓
PUTRAJAYA – Seramai lebih 53,900 pemandu e-hailing sepenuh masa kini layak menikmati subsidi petrol Budi Madani RON95 (BUDI95) dengan siling penggunaan dinaikkan kepada 600 liter sebulan.
Kementerian Kewangan (MoF) dalam kenyataan pada Isnin berkata, peningkatan itu dibuat selepas semakan silang data bersama Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) menunjukkan lebih ramai pemandu layak mendapat manfaat tambahan.
Selain itu, lebih 11,400 pemegang lesen baharu turut tersenarai dalam kategori penerima BUDI95, termasuk 11,200 individu yang baru memperoleh lesen dan 260 lagi yang memperbaharui lesen memandu mereka. Secara keseluruhannya, lebih 16 juta rakyat Malaysia kini menerima manfaat di bawah skim subsidi bersasar berkenaan.
Dalam masa sama, BUDI95 turut diperluaskan kepada pengguna bot persendirian berdaftar di Sarawak bagi memastikan keadilan bantuan kepada semua lapisan masyarakat termasuk komuniti perairan.
“MoF telah mengaktifkan kelayakan BUDI95 kepada lebih 1,400 pengguna bot berdasarkan data daripada Lembaga Sungai-Sungai Sarawak serta agensi kerajaan negeri,” jelas kenyataan itu.
Kerajaan Madani menegaskan komitmen untuk memastikan pelaksanaan program subsidi berjalan dengan telus, lancar dan memberi manfaat langsung kepada golongan sasar. MoF bersama agensi berkaitan juga akan terus memantau serta menambah baik pelaksanaan BUDI95 dari semasa ke semasa.
𝐊𝐄𝐑𝐀𝐉𝐀𝐀𝐍 𝐌𝐀𝐃𝐀𝐍𝐈 𝐋𝐔𝐀𝐒𝐊𝐀𝐍 𝐁𝐔𝐃𝐈𝟗𝟓, 𝐏𝐄𝐌𝐀𝐍𝐃𝐔 𝐁𝐎𝐓 𝐃𝐀𝐍 𝐄-𝐇𝐀𝐈𝐋𝐈𝐍𝐆 𝐓𝐄𝐑𝐈𝐌𝐀 𝐌𝐀𝐍𝐅𝐀𝐀𝐓
byMALAYSIA HARI INI
-
0