WARGA EMAS 80-AN DICEKUP POLIS KERANA PANDU KERETA LAWAN ARUS

WARGA EMAS 80-AN DICEKUP POLIS KERANA PANDU KERETA LAWAN ARUS PETALING JAYA – Polis menahan seorang lelaki warga emas berusia dalam lingkungan 80-an selepas tindakannya memandu kereta melawan arus di Lebuhraya Utara Selatan berhampiran Restoran Jejantas Sungai Buloh, awal pagi Jumaat lalu, mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya lain.
Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Superintenden M Hussin Sollehuddin Zolkifly berkata, kejadian itu terbongkar selepas satu rakaman video tular di aplikasi TikTok pada jam 10.30 pagi. Video berkenaan menunjukkan sebuah kereta dipandu bertentangan arah aliran trafik, sekali gus menimbulkan kebimbangan masyarakat.
Menurut beliau, hasil siasatan mendapati kejadian berlaku sekitar jam 1 pagi hari sama. Susulan itu, sepasukan anggota polis digerakkan dan berjaya menahan pemandu terbabit. “Semakan lanjut mendapati lelaki tersebut tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau. Bagaimanapun, kes ini disiasat di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu. M Hussin Sollehuddin turut mengingatkan orang ramai agar sentiasa mematuhi undang-undang jalan raya dan elak melakukan perbuatan yang membahayakan keselamatan diri serta pengguna lain.
“Polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pemandu yang bertindak cuai atau membahayakan nyawa orang lain. Tindakan tegas akan diambil,” tegasnya. Kes itu sekali lagi mencetuskan perbincangan tentang keupayaan warga emas memandu kenderaan di usia lanjut. Ada pihak menggesa penilaian berkala kesihatan pemandu berusia perlu diwajibkan bagi mengelakkan insiden berulang.

Catat Ulasan

Terbaru Lebih lama