‘TAK APA SAYA PEMAAF ORANGNYA’ – MUHYIDDIN PERLI PM


 SHAH ALAM – Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin menyindir Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana sehingga kini belum memohon maaf kepadanya berhubung dakwaan fitnah kononnya beliau mempertahankan pemberian subsidi RON95 kepada warga asing.

Dalam ucapannya pada Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu malam ini, Muhyiddin menegaskan beliau tidak pernah menerima sebarang laporan daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) seperti yang disebut Anwar sebelum ini.

“Hari itu dia fitnah saya juga, kononnya saya yang sokong beri subsidi minyak kepada warga asing. Sampai sekarang tiada laporan, tiada maaf. Tak apa, saya pemaaf orangnya, tapi nampaknya dalam kamus hidup dia tiada perkataan maaf,” katanya.

Pada 14 Ogos lalu, Anwar memaklumkan di Parlimen bahawa beliau bersedia memohon maaf sekiranya siasatan MCMC mendapati kenyataan tersebut tidak benar. Bagaimanapun, sehingga kini tiada perkembangan lanjut berhubung hasil siasatan itu.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata beliau bersangka baik dengan menyifatkan perkara itu sebagai ujian kesabaran. “Mungkin Allah jadikan Anwar sebagai Perdana Menteri untuk kita bersabar, semoga darjat kita diangkat,” katanya lagi.

Ucapan sindiran itu sekali lagi mencuri tumpuan ketika PAT Bersatu 2025 berlangsung di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), Shah Alam yang turut dihadiri ribuan perwakilan parti.

Catat Ulasan

Terbaru Lebih lama