MURID SEMBILAN TAHUN MAUT TERJATUH DALAM LUBANG KUMBAHAN KETIKA KEJOHANAN SUKAN
NILAI – Satu tragedi menyayat hati berlaku di sebuah sekolah di Nilai, pagi tadi apabila seorang murid lelaki berusia sembilan tahun maut selepas terjatuh ke dalam lubang kumbahan yang tidak bertutup.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, laporan kejadian diterima Ibu Pejabat Polis Daerah Nilai sekitar jam 11 pagi. Siasatan awal mendapati pada jam 9.20 pagi, mangsa dilihat oleh orang awam terjatuh ke dalam saluran kumbahan terbuka ketika berlangsungnya kejohanan sukan olahraga di sekolah berkenaan
.
Pasukan bomba yang tiba segera menjalankan operasi menyelamat sebelum mangsa berjaya dikeluarkan dan dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar Seremban. Namun, kanak-kanak itu disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan.
Bedah siasat di Hospital Rembau sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kematian. Siasatan awal mendapati insiden berlaku akibat kemalangan dan tiada unsur jenayah terlibat.
“Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian yang boleh mengganggu siasatan,” tegas Alzafny.
Kejadian itu menimbulkan persoalan mengenai tahap keselamatan di kawasan sekolah, khususnya melibatkan infrastruktur seperti penutup lubang kumbahan yang berisiko kepada murid. Pihak berkuasa dijangka mengambil langkah susulan bagi memastikan insiden sama tidak berulang.
Tags
MALAYSIA HARI INI
