KUALA LUMPUR – Kegiatan licik sindiket dadah yang menjadikan sebuah unit kondominium di Jalan Yap Kwan Seng sebagai pusat transit dan makmal memproses minuman bercampur dadah akhirnya terbongkar dalam serbuan polis minggu lalu.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, serbuan dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi kira-kira jam 10.20 malam Khamis. Dua lelaki tempatan berusia 30 dan 32 tahun ditahan dalam operasi itu.
Hasil pemeriksaan menemukan 503 botol cecair disyaki mengandungi methylenedioxymethamphetamine (MDMA) seberat 239.5 kilogram, 298 gram serbuk MDMA, 70 pil erimin dan 20 peket ketamin. Nilai rampasan dadah itu dianggarkan RM251,020 dan mampu menampung sehingga 3,631 penagih.
Sulizmie berkata, serbuan turut menyita dua kereta jenis Honda City dan Toyota Vios bernilai RM50,000 serta wang tunai RM140. Jumlah keseluruhan rampasan dan sitaan adalah RM301,160.
Beliau mendedahkan sindiket berkenaan dipercayai menyewa kondominium melalui aplikasi dalam talian bagi mengaburi pihak berkuasa sebelum memproses minuman bercampur dadah untuk diedarkan ke pusat hiburan sekitar Lembah Klang.
“Hasil soal siasat juga mendapati suspek menggunakan aplikasi online untuk urusan jual beli serta menerima upah RM100 bagi setiap penghantaran sejak awal tahun ini,” katanya pada sidang akhbar di IPD Dang Wangi.
Saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah manakala semakan rekod mendapati seorang daripada mereka mempunyai rekod jenayah berkaitan dadah. Mereka kini direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Tags
MALAYSIA HARI INI
