KUALA LUMPUR – Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing menjadi tumpuan selepas hidangan minuman keras dalam majlis rasmi kerajaan mencetuskan kecaman hebat daripada pemimpin pelbagai parti termasuk Amanah, PKR, PAS dan Umno.
Ketua Angkatan Wanita Amanah, Masturah Abu Bakar berkata alasan Tiong bahawa acara tersebut merupakan inisiatif pihak swasta tidak boleh diterima kerana ia tetap dijalankan dalam ekosistem acara kerajaan, sekali gus mencalarkan imej pentadbiran Madani.
Beliau turut membidas tindakan kementerian itu menjalin kerjasama dengan Starbucks bagi kempen Tahun Melawat Malaysia 2026, menyifatkannya tidak sensitif terhadap sentimen pengguna Muslim berhubung isu Palestin-Israel.
Timbalan Ketua Pemuda PKR, Nabil Halimi pula menegaskan tiada sebarang permohonan maaf dikeluarkan oleh Tiong dan menyifatkan kenyataan menteri itu sebagai defensif. Pemuda Bersatu turut mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menunjukkan ketegasan terhadap isu tersebut sebagai bukti prinsip akauntabiliti.
Bagaimanapun, Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng dan bekas menteri undang-undang, Datuk Zaid Ibrahim mempertahankan Tiong dengan menyifatkan kritikan terhadap beliau sebagai “histeria politik” dan memuji langkah menjimatkan kos kerajaan.
Zaid turut menyifatkan isu itu sebagai hipokrasi politik, mempersoalkan keghairahan sesetengah pihak menjadikan isu arak sebagai modal moral sedangkan hasil cukai daripada alkohol dan judi masih menjadi sumber pendapatan negara.
𝐈𝐒𝐔 𝐀𝐑𝐀𝐊 𝐌𝐀𝐉𝐋𝐈𝐒 𝐑𝐀𝐒𝐌𝐈: 𝐓𝐈𝐎𝐍𝐆 𝐃𝐈𝐊𝐄𝐂𝐀𝐌 𝐃𝐀𝐑𝐈 𝐏𝐄𝐋𝐁𝐀𝐆𝐀𝐈 𝐏𝐈𝐇𝐀𝐊, 𝐀𝐃𝐀 𝐏𝐄𝐑𝐓𝐀𝐇𝐀𝐍𝐊𝐀𝐍 𝐏𝐔𝐋𝐀
byMALAYSIA HARI INI
-
0