KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo, secara rasmi mengumumkan penyertaan beliau ke dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kerana yakin dengan kejujuran dan komitmen pemimpin parti itu dalam memperjuangkan nasib bangsa Melayu.
Menurutnya, UMNO kini tidak lagi dominan dalam politik negara dan sekadar menjadi 'parti supplement' kepada Pakatan Harapan (PH). Beliau menjangkakan UMNO akan bertanding dalam jumlah kerusi Parlimen yang lebih sedikit berbanding PKR pada pilihan raya umum akan datang.
“Bagaimana UMNO mahu dominan jika bertanding lebih sedikit kerusi? UMNO akan terus jadi parti ‘penumpang’ jika terus berada di bawah ketiak PH,” katanya.
Mohamad Khir yang juga bekas ADUN Sungai Panjang menegaskan bahawa beliau tidak lagi mempunyai cita-cita besar dalam politik, namun ingin terus menyumbang kepada perjuangan politik Melayu yang adil untuk semua kaum.
Beliau turut menghargai jasa UMNO dan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang pernah memberikan peluang kepadanya menjadi Menteri Besar, tetapi kini memilih untuk berjuang bersama Bersatu demi masa depan negara.
