IBU ZARA QAIRINA SERAH TELEFON BIMBIT KEPADA POLIS PETANG INI
KOTA KINABALU, 7 OGOS 2025 – Ibu kepada Allahyarham Zara Qairina Mahathir akan menyerahkan telefon bimbit miliknya kepada polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, Kapayan, petang ini. Telefon tersebut mengandungi rakaman audio perbualan antara beliau dan anaknya yang meninggal dunia pada 17 Julai lalu.
Peguam mewakili Noraidah Lamat, Hamid Ismail dan Shahlan Jufri, menjelaskan bahawa tindakan ini diambil bagi membantu siasatan selepas Jabatan Peguam Negara mengembalikan kertas siasatan awal kepada pihak polis untuk dilengkapkan.
“Kami berterima kasih kepada Jabatan Peguam Negara dan berharap beberapa arahan yang kami mohon turut diambil kira,” kata mereka.
Permohonan itu termasuk siasatan oleh pegawai dari Bukit Aman, penggalian semula kubur bagi bedah siasat kedua, dan satu inkues untuk menentukan unsur jenayah dalam kematian Zara.
Zara, 13, pelajar Tingkatan Satu sebuah sekolah agama di Papar, dilaporkan jatuh dari tingkat tiga asrama pada 16 Julai dan meninggal dunia keesokannya. Kes ini menarik perhatian ramai selepas beberapa rakaman suara tular yang mengaitkan kematian dengan unsur buli dan penderaan.
Pihak peguam juga berharap semua spekulasi dihentikan agar siasatan dapat berjalan lancar.
